Friday 9 November 2012

Kisah Anak Dengan Pohon Epal

Assalamulaikum semua :)..
Ok..hari ini aku akan kongsikan tentang kisah anak dengan pohon epal..so..check it out :0..

"Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pohon epal yang amat besar.  Seorang kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pohon epal ini setiap hari.  Dia memanjat pohon tersebut, memetik serta memakan epal sepuas-puas hatinya, dan adakalanya dia beristirahat lalu terlelap di perdu pohon epal tersebut.  Anak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainannya. Pohon epal itu juga menyukai anak tersebut.

Masa berlalu...

Anak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja  Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pohon epal tersebut.  Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pohon epal tersebut dengan wajah yang sedih. "Marilah bermain-main di sekitarku," ajak pohon epal itu.  "Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau." jawab remaja itu.  "Aku mahukan permainan dan aku perlukan wang untuk membelinya," tambah remaja itu dengan nada yang sedih. Lalu pohon epal iu berkata, "Kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada padaku dan juallah untuk mendapatkan wang. Dengan itu kau dapat membeli permainan yang kau inginkan." Remaja itu dengan gembiranya memetik semua epal dipohon itu dan pergi dari situ.  Dia tidak lagi kembali lagi selepas itu. Pohon epal itu merasa sedih.

Masa terus berlalu.........

Suatu hari, remaja itu kembali. Dia semakin dewasa. Pohon epal itu merasa amat gembira.  "Marilah bermain-main di sekitarku," ajak pohon epal itu.  "Aku tiada waktu untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku. Bolehkah kau menolongku?" tanya anak itu.  "Maafkan aku, aku tidak mempunyai rumah tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan buatlah rumah daripadanya." pohon epal itu memberi cadangan.  Lalu anak itu memotong kesemua dahan pohon epal itu dan pergi dengan gembiranya.  Pohon epal itu pun turut gembira tetapi kemudiannya merasa sedih kerana anak itu sudah tidak kembali lagi selepas itu.

Pada suatu hari yang panas...

Seorang lelaki datang menemui pohon epal itu. Dia sebenarnya ialah anak lelaki yang pernah bermain-main dengan pohon epal itu. Dia telah matang dan dewasa.  "Marilah bermain-main di sekitarku," ajak pohon epal itu.  " Maafkan aku, tetapi aku bukan lagi anak lelaki yang suka bermain di sekitarmu. Aku sudah dewasa dan aku mempunyai cita-cita untuk belayar tetapi malangnya aku tidak mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku pohon epal?" tanya anak itu.  "Aku tidak mempunyai bot untuk diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh memotong batang pohon ini untuk dijadikan bot. Dengan itu, kau akan dapat belayar dengan gembira," kata pohon epal itu.  Lalu anak itu merasa amat gembira dan menebang batang pohon epal tersebut. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi selepas itu.

Masa berlalu dan terus berlalu......

Pada suatu hari yang damai, seorang lelaki yang semakin dimamah usia datang menuju pohon epal tersebut. Dia ialah anak lelaki yang pernah bermain di sekitar pohon epal itu. "Maafkan aku, aku tidak ada apa-apa lagi untuk diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buah epalku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batang pohonku untuk kau buat bot. Aku hanya ada tunggul dan akar yang hampir mati.."kata pohon epal itu dengan nada pilu.  "Aku sudah tidak mahu apelmu kerana aku sudah tidak bergigi untuk memakannya, aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya dan aku tidak mahu batang pohonmu kerana aku sudah tidak berupaya untuk belayar lagi, aku  merasa lelah dan ingin beristirehat," jawab lelaki tua itu.  "Jika begitu, istirehatlah di perduku," kata pohon epal itu.  Lalu lelaki tua itu duduk beristirehat di persu pohon epal tersebut . Mereka berdua menangis kegembiraan.

 T.A.M.A.T :)..

Kesimpulannya :

Sebenarnya, pohon epal yang dimaksudkan di dalam cerita itu adalah kedua ibu bapa kita. Bila kita masih muda, kita suka bermain dengan mereka.  Ketika meningkat remaja, kita perlukan bantuan mereka untuk meneruskan hidup. Kita tinggalkan mereka dan hanya kembali meminta pertolongan apabila kita di dalam kesusahan.  Namun begitu, mereka tetap menolong kita dan melakukan apa saja asalkan kita bahagia dan gembira dalam hidup.  Anda mungkin terfikir bahawa anak lelaki itu bersikap kejam terhadap pohon epal itu, tetapi fikirkanlah, itu hakikatnya bagaimana kebanyakan anak-anak masa kini melayan ibu bapa mereka.  Hargailah jasa ibu bapa kita.  Jangan hanya kita menghargai mereka semasa menyambut hari ibu dan hari bapa setiap tahun sahaja..


Credit to : cerita-cerita-teladan

No comments:

Post a Comment